Pen dan aku.

Pen ialah benda kedua yang paling kerap hilang, selepas pemetik api. Dari zaman di bangku sekolah sehinggalah ke alam pekerjaan, pen tidak kekal lama jangka hayatnya kerana selang beberapa ketika tidak diketahui kemana perginya. Begitu juga sepupunya stapler.

Kehilangan yang kadang kala disebabkan kecuai diri sendiri yang sering tertinggal di mana-mana atau terlupa tempat letaknya. Kadang kala, ianya berpunca dari kecuaian orang lain yang panjang tangannya, sengaja atau tidak memindah milik tanpa izin pen yang dicapainya.

Bagu aku, penyelesaiannya ialah dengan memiliki pen yang tidak dimiliki oleh orang lain. Pen yang rare, aneh, atau dalam konsep mudahnya dilihat dari jauh sudah diketaui tuannya.

Pen dan Jerman.

Kaweco ialah satu jenama pembuat pen yang berasal dari Jerman. Walaupun rekaan dan teknologinya berasal dari Jerman, pengilangan pen ini dibuat di Jepun, negara matahari terbit. Baru-baru ini aku membeli sebatang lagi pen berjenama Kaweco. Termasuk pembelian terbaru ini aku telah memiliki tiga batang pen daripada syarikat ini.

Pen pertama dari jenama Kaweco yang aku beli ialah Kaweco Supra. Sebatang fountain pen yang dibuat menggunakan tembaga sebagai bahas asas. Dua sebab aku jatuh hati dengan pen ini, kerana ianya dibuat seratus peratus daripada logam dan yang kedua, saiznya yang kecil (pendek?).

Pen kedua yang aku miliki dari jenama Kaweco ialah Kaweco Sport rollerball yang diperbuat daripada plastik. Pen ini juga mempunyai bentuk menarik yang ikonik. Pen ketiga aku juga dari model yang sama. Bezanya, pen yang pertama menggunakan cartridge dakwat khas dari Kaweco. Cartridge ini turut boleh digunakan pada fountain pen Kaweco Supra tadi.

Namun, model ini tidak lagi dikilangkan. Kaweco Sport rollerball yang terkini menggunakan dakwat atau refill dari jenis “Parker style G2”. Jangan terkeliru dengan refill Pilot G2. Ianya berbeza. Isian semula dari jenis ini banyak dihasilkan oleh pelbagai syarikat, temasuk Kaweco dan Parker.

Bezanya, isisan semula dalam bentuk cartridge ini lebih luas pilihan warnanya. Malah menggunakan picagari, dakwat isian semua yang dijual di dalam botol turut boleh diisikan kedalam cartridge yang kosong. Dakwat ini biasanya berasaskan air dan amat sesuai untuk fountain pen.

Bagi isian semula dalam bentuk Parker style G2, pilihan warna terhad. Walau bagaimanapun, dakwatnya biasanya bukan berasaskan air, jadi tulisan akan kekal di kertas dan tidak mudah rosak oleh air atau kelembapan. Tulisan juga tahan dalam jangkamasa yang amat lama dan tidak mudah pudar. Oleh kerana dakwat yang cepat kering, tulisan juga tidak mudah comot terkena tangan atau sebagainya.

Isian semula ini juga wujud dengan ketebalan mata yang berbeza seperti 0.5 dan 0.7

Keunikan dan Keistimewaan.

Kaweco Sport ini, dalam keadaan tertutup amat pendek berbanding pen biasa, iaitu lebih kurang empat inci. Saiz ini sesuai dan mudah dibawa di dalam poket atau secara EDC. Penutup Kaweco Sport ini mempunyai bebenang dan diketatkan secara screw in.

Jika mahu dibuka atau ditutup, penutupnya perlu dipusingkan mengikut arah mengetatkan atau melonggarkan skru. Sebagai langkah berjaga – jaga, sekiranya meminjamkan pen ini kepada pengguna yang tidak biasa, bukakn terlebih dahulu penutupnya.Ataupun pesan kepada mereka penutup perlu dipusing untuk dibuka.

Dikhuatiri, jika ditarik secara paksa dengan kuat seperti membuka penutup pen biasa, bebenang itu akan rosak. Tujuan rekaan sebegini ialah untuk mengelakkan dakwat mata pen menjadi kering. Apabila ditutup kemas, ianya menjadi kedap udara dan dakwatya terpelihara.

Pen ini tidak disertakan dengan klip. Klipnya dijual berasingan dengan harga yang aku rasa tidak berbaloi. Setakat ini, aku tidak pernah lagi membeli klipnya dan selesa menggunakan Kaweco Sport ini tanpa klip. Penutup pen ini mempunyai lapan sisi rata untuk mengelakkan pen ini daripada bergolek dalam keadaan tertutup.

Apabila hendak digunakan untuk menulis,penutup tadi boleh diletakkan di belakang pen. Dalam keadaan ini, pen ini akan menjadi panjang dan terasa seperti pen bersaiz biasa. Tiada perasaan kekok ketika menulis.

Oleh kerana pen Kaweco Sport ini diperbuat daripada plastik, pen ini terasa ringan berbanding Kaweco Supra yang aku gunakan sebelum ini. Ringan atau berat sebatang pen bukanlah perkara yang baik atau buruk. Tetapi ianya lebih kepada kesukaan seseorang itu. Aku sukakan pen yang berat.

Kaweco mempunyai versi yang sama yang dibuat daripada aluminium dikenali sebagai Kaweco AL Sport. Terdapat juga versi yang dibuat daripada logam dperti tembaga, dan besi tahan karat. Jenis ini lebih berat, selaras dengan ‘keberatan’ harganya.

Sejak memakai pen sebegini, pen aku tidak lagi hilang, melainkan ianya berpunca dari kecuaian aku. Kaweco Sport ini juga sering menjadi topik pemula bicara bagi mereka yang tertarik dengan keunikannya apabila melihat aku menggunakannya.

Jikalau tersalah letak sekalipun, pen ini sering dikembalikan kerana rakan sekerja sudah mengenali pen ini dan mengetahui hanya seorang sahaja yang disitu yang menggunakannya. Jadi jangka hayant pen aku semakin meningkat.

1 thought on “Pen dan aku.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge